Sunday, March 7, 2010

mencari jalan pulang

“Hati ini terlalu inginkan syurga Dia. Namun diri ini seringkali mengabaikan suruhan-Nya, sering pula melakukan perkara yang dilarang-Nya. Masih ada kah peluang diri ini untuk menggapai syurga yang keindahannya tiada tandingan itu? Masihkah diri ini punya masa untuk membaiki segala kesilapan lalu, lantas kembali kepada Dia yang Maha memiliki segalanya?” bunyi air terjun yang bermain di telinga tidak dapat mengatasi gundah hatinya. Dia sedar, kesilapan yang dilakukan bukan kecil.

Cerita tentang syurga yang menjadi halwa telinga ketika zaman kanak-kanak dahulu, seolah-olah makin jauh dari realiti. Semakin dikenangkan kesilapannya, terasa semakin mustahil untuk dicapai tempat kembali yang abadi itu.

“Aku terlalu kerdil dan lemah. Apalah guna andai aku ini mulia dan indah di pandangan makhluk, namun hina dan tiada tempat pada pandangan Dia yang Maha pencipta segalanya?” sekali lagi dia termenung panjang, mengenangkan hidup yang seperti tiada erti lagi.

Bunyi air menghempas batu tidak dihiraukan. Kejernihan air yang menenangkan itu pun tidak dapat menarik perhatiannya. Tangannya ditelangkupkan ke muka, lantas mengusap rambut yang tersedia kemas.

“Adakah taubat ku akan diterima oleh Dia? Setelah apa yang aku lakukan? Arghhh!” suaranya bergema, memecahkan kesunyian kawasan air terjun itu.

Tiba-tiba seorang lelaki tua muncul dari pondok rehat berhampiran. Dia berjalan tenang, setenang air yang mengalir di kolam air terjun itu.

“Assalamualikum,nak. Pak cik dengar kamu menjerit tadi. Ada apa-apa yang pak cik boleh bantu?” bagaikan tarikan magnet, ketenangan wajah pak cik tua itu membuat dia terpaku. Tali leher yang sudah dilonggarkan dipegang, menghilangkan rasa gugup di hati.

“Waalaikumussalam pak cik. Saya okey je. Minta maaflah kalau jeritan saya tadi mengganggu pakcik” dia digamit rasa bersalah, bimbang mengganggu ketenteraman orang lain di kawasan itu, walaupun dia yakin, sewaktu dia tiba tadi, hanya dia seorang yang berada di situ.

“Orang yang ada masalah, memang tak akan mengaku mereka ada masalah. Macam orang gila yang tak akan mengaku mereka gila.” Wajah pak cik yang tenang mengukir senyuman, lantas duduk di sebelah pemuda itu.

Dia tidak membalas kata-kata pak cik itu. Pandangannya tertumpu pada air yang mengalir pada batu-batu air terjun. Meski dihalang oleh batu-batu yang besar, air akan terus mengalir.

“Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian, tinggal kita untuk pilih jalan penyelesaian mana yang akan diambil.” Pak cik tua terbatuk kecil, sebelum kembali menyambung bicara.

“Setiap kesalahan pasti akan diampunkan, tinggal kita saja yang perlu memohon keampunan itu.” Pak cik tua itu seolah-olah tahu apa yang melanda hatinya. Biarpun dia tidak tahu siapa pak cik tua itu, tapi dia rasa terpanggil untuk meluahkan apa yang dirasainya.

“Tapi pak cik, tak kanlah kesalahan yang besar akan diampunkan? Ada ke harapan untuk mereka yang berdosa untuk merasai nikmat syurga tu, lepas apa yang dilakukan selama ni?” selaju air yang mengalir di celah batu-batu itu, selaju itu juga kata-kata itu meluncur keluar dari mulutnya. Entah dari mana datangnya kata-kata itu. Sedangkan baru tadi dia mengaku yang dia tidak apa-apa.

“Pak cik tak perlu tahu apa yang telah kamu lakukan dulu. Apa yang penting ialah apa yang kamu ingin lakukan sekarang. Hidup kamu yang dulu telah menjadi sejarah, namun hidup kamu yang akan datang, ditentukan pada hari ini.”

“Maksud pak cik?”

“Hidup kamu pada hari esok, kamu yang akan tentukan. Meskipun segalanya telah tercatat sejak azali, namun kamu juga yang akan berusaha dan merancang apa yang akan terjadi nanti. Dan semestinya, semua itu berlaku dengan izin Dia” tangan pak cik tua menepuk bahu pemuda itu.

“Dia tidak pernah mensisihkan hamba-Nya. Hanya kita yang sering melupakan dia. Macam kamu, saat kamu dilanda gelisah seperti ini, Dia tak biarkan kamu keseorangan. Dia ‘hantar’ pak cik sebagai peneman bicara. Kalau pun kamu keseorangan, lihatlah sekeliling kamu, alam ini akan menjadi teman.”


“Tapi saya buntu pak cik.” Dia meluahkan apa yang dirasainya setelah dia diam beberapa ketika.


“Dia tidak pernah biarkan hamba-Nya begitu saja. Hanya saja kita, sebagai hamba-Nya, perlu kembali dan meminta pada Dia. Sedangkan taubat lelaki yang telah membunuh 100 jiwa itu diterima oleh-Nya, siapa yang dapat menghalang dari taubat kita diterima?”


Kisah pembunuh 100 jiwa? Kisah yang selalu didengar sewaktu zaman remaja dulu. Bila seorang lelaki yang telah membunuh 99 jiwa ini ingin bertaubat, berjumpalah dia dengan seorang rahib, namun rahib itu mengatakan taubat dia tidak akan diterima. Jadilah rahib itu mangsanya yang ke-100. Namun apabila dia berjumpa dengan seorang yang alim, diberitahu bahawa tiada siapa yang dapat menghalangi pintu taubat dan disuruhnya pemuda itu ke kawasan lain, meninggalkan kawasan asalnya. Lalu dia meninggal dunia dalam perjalanan dan terjadi perebutan antara malaikat rahmat dan azab. Namun pengakhiran kisah itu samar-samar dalam ingatannya.


“Pak cik, apa jadi pada pemuda tu? Lepas 2 malaikat berebut untuk mengambil dia?”


“Kemudian datang malaikat yang wujud dalam rupa manusia, yang menyelesaikan masalah itu. Malaikat tu suruh 2 malaikat tu ukur jarak perjalanan lelaki yang ingin bertaubat tu. Malaikat tu kata, kawasan mana yang lebih dekat dengan tempat kematian lelaki tu, malaikat tu lah yang berhak mengambil lelaki tu”


“Betul, betul. Lepas diukur, lelaki tu lebih dekat dengan tempat yang ditujunya, berbanding kawasan asalnya. Lepas tu malaikat rahmat yang mengambil dia. Kan, pak cik?” Pak cik tua itu hanya mengangguk dan tersenyum kecil.


“Macam itu jugalah kita ni nak, sebesar mana kesalahan kita, asal saja kita ingin kembali pada Dia, pintu taubat itu tak pernah tertutup. Selagi nyawa belum sampai di kerongkongan, bertaubatlah. Jangan sampai bila nyawa hampir ditarik baru kita ingin bertaubat.”


Air mata bergenang di kelopak mata lelaki itu. Betapa luasnya kasih sayang dan rahmat-Nya. Hanya dia saja yang sering terlupa akan nikmat yang dikurniakan oleh-Nya. Lalai dengan arus dunia dan keseronokan yang sementara.


Masihkah ada peluang untuk dia bertaubat? Sedangkan dirinya kotor dan tidak mempunyai hala tuju. Dia masih ragu-ragu akan keampunan-Nya buat hamba-hamba yang berdosa.


“Tapi pakcik…” dia menoleh memandang ke arah pak cik tua itu. Namun pak cik tua itu telah tiada. Lantas dia bangun dari bangku itu, mencari kelibat pak cik tua itu di kawasan sekeliling.


Tiba-tiba bahunya disentuh dari belakang.


“Saudara, hari dah hampir senja ni. Jalan keluar ke jalan besar gelap nanti.” Pembersih kawasan air terjun itu mengejutkannya dari lena.


Dia tergamam seketika. Dicari kelibat pak cik tua di sekelilingnya.


“Encik, ada nampak tak seorang pak cik tua dekat kawasan ni?”


“Tak adalah, saudara. Dari tadi saudara seorang je kat sini. Jarang ada pengunjung datang bila hari dah dekat gelap ni.” Pembersih kawasan air terjun itu mengambil plastik sampah yang telah penuh dan berlalu pergi.


Pemuda itu lantas mengambil topi keledar dan menuju ke arah motosikalnya. Dia yakin, mimpi yang dialaminya tadi bukan sebarang mimpi. Pintu taubat terhampar luas di hadapannya kini. Tinggal dia saja yang perlu kembali kepada-Nya.


“Ya Allah, izinkan aku bertaubat dan kembali kepada-Mu. Jangan Kau matikan aku dalam keadaan sia-sia ini.” Dan motosikalnya membelah kesunyian senja. Yang terbayang di matanya kini hanyalah sehelai sejadah yang telah lama ditinggalkan.



7 mac 2010
8.37pm

wallahu'alam~

2 comments:

  1. panjangnyeeeeeeeee...tp best!
    ptut la buzz ym x balas..duk wak cerpen ke makcik?

    ReplyDelete
  2. haha..xlaa,mmg x onl9 pun smlm..

    erm..tiba2 dpt idea utk tulis..moga sama2 dpt amik mnfaat.. :)

    ReplyDelete