Dan salah satu kelebihan malam yang lebih panjang ini ialah lebih mudah untuk bangun lebih awal sebelum subuh, atau bangun pada waktu tengah malam. Tapi ada pula ujian lain yang menjadi cabaran untuk bangun malam, iaitu keadaan malam yang sangat sejuk.
Entri kali ini bertujuan berkongsi kelebihan bangun malam (qiamullail). Dengan tertulisnya entri ini, bukanlah bermaksud penulis seorang yang tak pernah tinggal solat malamnya. Tidak juga bermaksud penulis lebih baik dari yang membaca. Sekadar 'copy paste' petikan dari sebuah artikel berkaitan agar dapat dimanfaatkan bersama.
***
Qiyamullail atau bangun malam untuk mengerjakan ibadat merupakan amalan yang cukup tinggi darjatnya di sisi Allah Taala. Firman Allah Taala di dalam Surah Al-Isra’ ayat 79 yang bermaksud,
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajjud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”
Dalam ayat yang lain dari surah Al-Muzammil ayat 6, Allah Taala berfirman,
“Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.”
At-Tabrani meriwayatkan daripada Sahl bin Sa’ad r.a daripada Rasulullah s.a.w, sabda baginda:
“Kemuliaan seorang Mukmin ialah qiamullail (bangun pada waktu malam untuk beribadat)”
Lihatlah janji Allah Taala kepada hambaNya yang ikhlas mengerjakan ibadat malam. Betapa untungnya mereka yang bangun malam, sujud menghadap Tuhan yang satu di kala manusia lain sedang lena dibuai mimpi. Kepayahan dan kesukaran untuk bangkit pada malam hari digantikan dengan kedudukan yang tinggi dan terpuji oleh Allah Taala di akhirat nanti. Alangkah bahagianya insan yang tergolong dalam kelompok manusia ini. Tidakkah kita mahu menjadi seperti mereka?
***
Memang menjadi suatu mujahadah untuk bangkit pada tengah malam, apatah lagi dengan rasa letih dan mengantuk yang menguasai diri. Namun yang penting ialah usaha untuk mengejar redha-Nya.
Biarlah kita bermula dengan amalan yang sedikit, tetapi berterusan. Semoga amal kita diterima dan diredhai oleh Allah.
wallahu'alam~
No comments:
Post a Comment